top of page
Search
Writer's picturePanglima Eelz

Wahai IbuBapa, didiklah anak-anakmu mendirikan Solat.

Updated: Apr 15, 2020



Rukun Islam ada lima iaitu

1) Mengucap dua kalimah syahadah

2) Mendirikan Solat lima waktu

3) Berpuasa pada bulan Ramadan

4) Mengeluarkan Zakat

5) Melaksanakan Haji bagi mereka yang berkemampuan


Solat ialah ibadah yang kita lakukan setiap hari. Tidak kira jika kita sihat, sedang sakit, di tempat kerja, bermusafir malah ketika berperang masih wajib bagi kita untuk mendirikan Solat. Mendidik anak untuk bersolat adalah antara tanggungjawab paling besar bagi Ibubapa.


Daripada Amru bin Syu'aib daripada ayahnya daripada datuknya, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:” Perintahkanlah anak-anak kamu untuk melaksanakan solat apabila sudah mencapai umur tujuh tahun. Apabila sudah mencapai umur sepuluh tahun maka pukullah dia apabila tidak melaksanakannya serta pisahkanlah tempat tidur mereka.”


Dalam siri ini saya ingin kongsikan tips-tips yang saya saya amalkan dalam mendidik anak-anak saya sendiri untuk mendirikan Solat. Saya ringkaskan dalam 5 tips besar secara amnya bagaimana mendidik anak untuk menjaga solat. Mungkin bermanfaat bagi Ibubapa yang anak-anak masih kecil dan mahu bermula Solat.




Tips Pertama yang ingin saya kongsi dahulu ialah:

Jangan tinggalkan Solat. Sebagai umat Muhammad, kita diwajibkan Solat 5 waktu sehari semalam. Sebelum kita ingin mendidik anak-anak kita Solat, kita sendiri perlu menjaga ibadah Solat kita. Menjaga disini bukan sahaja tidak culas dalam mendirikan kewajipan kedua dari rukun Islam ini tetapi bermaksud juga kita perlu memperbaiki ibadah kita, belajar lagi dan mendalami tentang Solat daripada mengambil wudhu, perbuatan solat, bacaan-bacaan, zikir-zikir dan sebagainya.


Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah memerintahkan orang-orang yang beriman agar solat seperti beliau solat, sebagaimana sabdanya: "Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat". (H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad).


Ramai antara kita yang berhenti belajar selepas habis sekolah atau lebih awal lagi selepas belajar fardhu ain di KAFA dan sebagainya. Kita perlu kembali belajar supaya dapat memperbaiki ibadah solat kita. Lazimilah pengajian di Masjid, Surau dan lain-lain yang banyak kini di Negara kita.


Tips Kedua

Biasakan anak-anak dengan suasana di Masjid dan Surau. Bawa mereka bersama ketika kita solat berjemaah atau ketika pegi menghadiri kuliah. Latih mereka dari kecil, dalam masa yang sama menjaga pergerakan mereka agar tidak menganggu Jemaah lain. Ada masjid-masjid yang menjalankan kelas untuk anak-anak, jadi ambil peluang untuk mendaftarkan anak-anak kita.


Apabila kita membiasakan mereka ke masjid atau surau, bukan sahaja mereka dapat belajar malah dapat terus mempraktikkan apa yang mereka belajar. Selain itu menjadikan mereka tidak kekok dan besar harapan kita agar mereka menjadikan solat berjemaah sebahagian dari aktiviti harian mereka.




Tips Ketiga

Mula dengan perlahan dan berperingkat. Sebagaimana perkara lain yang kita ingin didik anak kita, begitu juga dalam solat perlu kita ajar dengan perlahan mengikut tahap serta perlu banyak bersabar. Kaedah psikologi serta menggunakan ihsan amat penting semasa medidik anak-anak. Ini kerana tujuan kita ialah untuk mendekatkan mereka dengan ibadah serta membiasakan mereka bukan untuk menakut-nakutkan mereka atau membebani mereka.

Ajar mereka dari wudhu secara sempurna, terapkan nilai-nilai positif seperti jangan membazir air, buat secara tertib dan jangan tergopoh-gopoh. Insya Allah dengan menanam sikap ini dari kecil akan menjadikan mereka lebih berdisplin

Dalam solat, terapkan nilai-nilai positif seperti jangan bermain, melakukan tertib solat dengan cermat, periksa pergerakan mereka dan juga bacaan-bacaan dalam solat. Tidak perlu mengajar dengan terlalu cepat kerana mahu mereka segera dapat bersolat. Tapi tekankan kepada kualiti solat itu sendiri.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah.” Menunjukkan perbaiki amalan dan bukan semata-mata menumpu untuk memperbanykkannya.


Tips Keempat

Antara kaedah yang saya sendiri terapkan kepada anak-anak ialah untuk solat di awal waktu. Apabila azan berkemundang, terus didik mereka untuk mengambil wudhu dan siap untuk bersolat. Termasuk juga ketika membawa mereka keluar membeli belah dan sebagainya.

Hasilnya, dapat dilihat kini semasa tempoh PKP ini, apabila azan berkumandang dengan segera mereka akan bersiap dan membentang sejadah untuk berjemaah tanpa perlu lagi dipaksa-paksa. Anak-anak umpama kain putih dan terpulang pada kita sebagai ibubapa untuk mencorakkanya. Solat menerapkan displin dalam diri mereka dan ini termasuk menepati masa, menjaga kebersihan dan paling penting semoga mereka menjadi anak-anak soleh yang akan mendoakan kita kelak. Allahumma Ameen.


Tips Kelima

Secara tidak formal, kita perlu memeriksa kefahaman mereka tentang solat, baik dari segi bacaan, pergerakan, sunat ,wajib dan sebagainya dalam solat. Sebagai contoh bacaan semasa ruku’ dalam masa sama kita boleh menganjurkan mereka dengan bacaan-bacaan lain yang Rasul SAW amalkan dalam ruku’. Dedahkan mereka dengan kepelbagaian tetapi secara perlahan-lahan dan bertahap.

Sentiasa tanamkan pada mereka unuk ‘upgrade’ kualiti solat mereka dan tidak berhenti selepas sudah boleh bersolat. Begitu juga dalam mengaji Al Quran. Sentiasa galakkan mereka terus mengaji walaupun sudah khatam. Dengan ketibaan Ramadan yang tidak lama lagi, boleh sama kita bertadarus bersama-sama keluarga tercinta.


Saya akan terus berkongsi tips-tips lain yang saya amalakan dalam masa yang sama berharap agar ianya dapat memberi manfaat kepada kita semua, Insya Allah.



Ilham Mohtar





38 views0 comments

Recent Posts

See All

Hibah

Hibah maksudnya pemberian. Dalam Islam, hibah ialah salah satu cara pemilikan harta yang sah di sisi syarak. Ia berkait rapat dengan...

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page